MASIH kental lagi tersemat di dalam kotak pemikiran penulis akan pengalaman menjadi guru sandaran di sebuah sekolah menengah beberapa tahun yang lalu terutamanya ketika menyambut sambutan Hari Guru pada tahun tersebut.
Pada ketika itu, apabila penulis bersama-sama dengan guru-guru lain membacakan ikrar sebagai pendidik dan menyanyikan lagu Guru Malaysia dalam majlis perhimpunan, terdetik di hati penulis bahawa karier perguruan ini mempunyai nilai yang unik dan tersendiri.
Teringat juga kenangan manis apabila air mata ini begitu mudah mengalir apabila ada anak murid miskin yang bersusah payah mencarikan 'hadiah' sebagai ucapan terima kasih sempena sambutan Hari Guru ini.
Hakikatnya, seorang guru tidak memerlukan anak-anak muridnya membalas jasa-jasanya. Cukuplah hanya dengan membuktikan bahawa mereka boleh menjadi insan yang cemerlang dan mampu menyumbangkan sesuatu yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
Menjadi guru bukanlah tugas yang mudah, apatah lagi guru merupakan orang yang paling bertanggungjawab selepas ibu bapa dalam memberi didikan, pedoman dan bimbingan terhadap anak-anak bangsa.
Begitu jua dalam usaha membentuk modal insan yang cemerlang, kadangkala nasihat dan pujuk rayu guru tidak memadai untuk mendisiplinkan sesetengah anak murid. Lantaran itu, denda dan hukuman lebih tegas yang difikirkan wajar diaplikasikan semata-mata untuk mendisiplinkan anak-anak murid.
Namun, tidak semua pihak terutamanya ibu bapa dan anak-anak murid itu sendiri yang faham akan niat murni para guru, lantas mengambil pelbagai tindakan yang 'terburu-buru' dengan menghukum dan mengheret guru ke muka pengadilan.
Itu adalah antara cabaran yang perlu ditempuh oleh guru zaman sekarang dan guru perlu terus menguatkan azam, menunjukkan wibawa diri dalam usaha memartabatkan profesion keguruan mereka.
Sebagaimana yang pernah dinyatakan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Alimuddin Mohd. Dom terdapat lima fokus yang diharapkan mampu mengekalkan kejayaan dan kegemilangan dalam karier seseorang guru.
Pertamanya, kekuatan intelek memungkinkan seseorang guru terus menjadi 'ensiklopedia bergerak' yang dijadikan sumber rujukan dalam bidang masing-masing. Bukan sahaja anak murid, bahkan masyarakat sekeliling turut mendapat kebaikannya apabila guru yang mantap nilai inteleknya ini berkongsi kepakarannya dengan pihak awam.
Kedua, nilai kepimpinan berwibawa pula perlulah diadun dengan baik berasaskan ajaran agama Islam yang syumul dan apa yang digariskan dalam konteks moral. Seorang guru sememangnya akan menjadi role-model kepada anak-anak muridnya. Jika betul dan sempurna kaedah kepimpinannya, maka betul jualah sifat dan sikap anak-anak murid. Jika salah memimpin, pastilah anak-anak murid yang menerima implikasi negatif dan mewarisi kesilapan gurunya.
Ketiga, kemurnian akhlak seseorang guru itu turut menjadi ikutan dan panduan buat anak-anak murid. Sopan santun, lembut tutur kata, berdisiplin, bermentaliti kelas pertama dan memiliki towering personality ibarat pakaian yang perlu dipakai 24 jam seminggu oleh guru-guru kerana banyak mata yang melihat keperibadian mereka.
Keempat, dalam era modenisasi dan dihambat arus globalisasi ini, sememangnya guru perlu mempunyai kesediaan untuk berubah. Penggunaan teknologi pengajaran terkini di sekolah dan pengenalan dasar dan polisi pendidikan yang baru adalah contoh perubahan yang tidak dapat tidak, perlu dihadapi dan ditangani oleh guru.
Kelima, minat dan cinta terhadap profesion keguruan akan mendorong ke arah kesempurnaan kerjaya seseorang guru. Bapa penulis yang juga seorang guru pernah menyebut "sebenar-benar guru adalah guru yang menanam niat menjadi guru, dan bukan kerja sebagai guru."
Ujarnya lagi, "Menjadi cikgu pula ibarat meletakkan 'roh' guru dalam diri yang berperanan mendidik, membimbing dan meneladani sesiapa sahaja, pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja."
Nyatanya, selagi hayat dikandung badan, kita semua pasti tidak dapat melupakan akan budi dan jasa guru-guru kita.
Oleh KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR
Utusan Malaysia 16 Mei 2008
No comments:
Post a Comment