Friday, May 16, 2008

Pelbagai tanggungjawab terpikul di atas bahu guru

UNGKAPAN ringkas tetapi penuh bermakna pernah diucapkan oleh seorang guru "Hina besi kerana karat, hina manusia kerana tidak berilmu". Ia memberi gambaran umum bahawa ilmu pengetahuan mampu memartabatkan kedudukan manusia dan menyelamatkan diri daripada lembah kehinaan, kemunduran dan kejahilan.

Siapa lagi kalau bukan guru, insan yang wajar kita hormati sehingga ke akhir hayat disebabkan jasa yang tidak mungkin dapat kita balas dengan apa jua cara sekalipun.

Bertepatan dengan tema sambutan Hari Guru pada tahun ini ialah "Guru Cemerlang Negara Terbilang" begitu signifikan terhadap pengorbanan guru dalam menjayakan pendidikan yang bertaraf dunia, merentas sempadan dan masa untuk melahirkan generasi muda yang mampu berkhidmat kepada masyarakat.

Ilmu merupakan nadi penggerak kepada pencapaian unggul terhadap sesebuah bangsa dan negara daripada cengkaman kejahilan. Hanya dengan ilmu jugalah manusia tidak akan mudah terpengaruh dan terjebak dengan budaya yang tidak bermoral dan membinasakan diri sendiri.

Bayangkan di sebalik kejayaan Perdana Menteri ada guru yang pernah mendidiknya. Kejayaan seseorang jutawan juga hasil didikan gurunya. Kita juga tidak boleh menafikan usaha melahirkan saintis dan angkasawan negara tidak akan tercapai tanpa tenaga guru. Malah lahirnya tokoh-tokoh ulama turut mendapat sentuhan ilmu seorang yang bernama guru. Apatah lagi sudah tentu kita tidak dapat menghitung jumlah para pemimpin dan golongan profesional adalah manifestasi daripada jasa warga guru.

Sebagaimana hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk melahirkan lebih ramai rakyat Malaysia yang mempunyai mentaliti kelas pertama, menambah bilangan manusia yang mempunyai personaliti unggul, merealisasikan Misi Nasional, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010), Wawasan 2020 serta pelbagai tugasan yang terpikul di atas bahu guru. Tanpa semangat guru yang cemerlang pasti tidak akan terlaksana semua impian dan wawasan negara.

Oleh kerana pentingnya mendalami ilmu pengetahuan ke dalam jiwa manusia maka agama Islam sangat menitikberatkan usaha untuk mencari ilmu pengetahuan, meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang dan membentuk akhlak manusia ke arah sifat-sifat yang terpuji sepanjang masa.
JihadKonsep menuntut ilmu sepanjang hayat dianggap sebagai satu kefarduan dan salah satu jihad yang sangat tinggi ganjarannya di sisi Allah SWT. Ini dapat dibuktikan melalui sebuah hadis Rasulullah SAW daripada Anas bin Malik r.a. berkata: Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya "Menuntut ilmu adalah satu kefarduan ke atas setiap Muslim dan Muslimat." (Riwayat Ibn Majah).

Di sebalik saranan daripada hadis di atas yang meletakkan tugas menuntut ilmu sebagai satu ibadat yang perlu dilaksanakan maka sudah pasti sangat memerlukan seorang guru yang mahir dalam dunia pendidikan.
Guru atau pendidik juga berperanan sebagai ejen membangunkan minda ummah, menjadikan kita bangsa yang dihormati dan disegani serta membentuk sebuah negara maju. Dengan komitmen dan kesungguhan yang tinggi maka cabaran untuk memikul tanggungjawab tersebut memerlukan guru yang menyanjung tinggi nilai-nilai kecemerlangan dalam dunia pendidikan masa kini.

Betapa luasnya ilmu pengetahuan yang perlu diterokai oleh manusia turut menuntut kesedaran untuk terus belajar dalam pelbagai bidang. Allah SWT memberi perumpamaan betapa hebatnya ilmu melebihi segala-galanya yang ada di bumi. Firman-Nya di dalam surah al-Kahfi ayat 109 yang bermaksud: "Katakanlah wahai Muhammad, kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan."

Sejarah Islam telah membawa satu mesej yang sangat jelas bahawa kejahilan tidak wajar dijadikan alasan untuk menggagalkan komitmen memartabatkan ummah di persada dunia. Apabila diri manusia telah dihiasi dengan keindahan akhlak Islam maka amat mudahlah untuk menumpukan sepenuh jiwa dan minda agar menjadi masyarakat yang cerdik akalnya daripada dunia kesesatan.

Betapa indahnya dunia ini jika didiami oleh mereka yang celik minda, akal dan hati kerana dapat memberi manfaat kepada orang lain. Ingatlah bahawa Allah SWT memberi amaran keras agar tidak melakukan sebarang kemudaratan atau mendatangkan kemusnahan yang hanya merugikan bangsa dan negara.

Sekadar bertanya, siapakah kita hari ini tanpa guru?

Oleh RAHISAM RAMLI
Utusan Malaysia 16 Mei 2008

No comments:

Post a Comment