kdt to terkini utusan
KUALA LUMPUR 21 Julai — Raja-raja merasakan peranan mereka dalam urusan negara bukan sekadar pelengkap kepada adat negara beraja kerana “mereka bukannya daripada kalangan insan yang buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan”, titah Raja Dr Nazrin Shah.
Pandangan berterus-terang Raja-raja dalam perkara-perkara berkaitan perpaduan warga, peranan agama, kebebasan kehakiman serta rasuah dan penyalahgunaan kuasa adalah berdasarkan hasrat untuk memastikan bahawa negara terus kukuh dan aman, dan warga terus sejahtera dan makmur, titah baginda.
“Segala perkara yang berlaku adalah dalam ruang penglihatan, pendengaran dan pertuturan mereka,” titah Raja Nazrin dalam pidato bertajuk “Institusi Beraja" di Intan di sini hari ini.
Baginda bertitah bahawa setelah 50 tahun kemerdekaan negara, Raja-raja telah mencapai satu tahap kematangan dengan memahami peranan terutamanya ketika negara menghadapi krisis.
Bagaimanapun, demi memastikan takhta kekal dihormati, Raja-raja harus bersifat berkecuali dan memisahkan diri daripada terlibat dalam sebarang kancah pertelingkahan politik kepartian serta menjauhkan diri daripada dijadikan instrumen oleh mana-mana pihak dalam persaingan mendapatkan kuasa politik, titah Raja Muda Perak.
“Selaras dengan semangat Raja Berpelembagaan yang biasa diamalkan, peranan Raja adalah memerintah dan bukan mentadbir. Raja hendaklah berada di atas segala urusan politik dan urusan pentadbiran harian yang melibatkan banyak kerenah dan pelbagai kontroversi.
“Dengan berada di takhta yang lebih tinggi, Raja hanya terlibat pada waktu dan ketika yang diperlukan,” titah Raja Nazrin.
Perlembagaan negara, menurut baginda, memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja memiliki budi bicara yang boleh digunakan menurut prerogatif Raja Pemerintah tertakluk kepada batasan tertentu.
“Budi bicara Raja Pemerintah merangkumi kuasa melantik Perdana Menteri di peringkat Persekutuan dan melantik Menteri Besar di peringkat negeri, hak tidak memberi perkenan membubarkan Parlimen di peringkat Persekutuan dan Dewan Undangan Negeri di peringkat negeri.
“Dalam urusan lantikan Perdana Menteri demikian juga Menteri Besar, budi bicara Raja Pemerintah tidaklah mutlak. Baginda berada dalam kedudukan berhak memastikan siapakah yang telah mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.
Budi bicara Raja menjadi sangat penting apabila berlaku keadaan tergantung disebabkan tidak ada parti yang menguasai majoriti keanggotaan Dewan Rakyat ataupun Dewan Undangan Negeri atau apabila kerajaan campuran mahu ditubuhkan,” titah baginda.
Dalam suasana demikian, titah Raja Nazrin, Raja Pemerintah boleh bertindak atas budi bicara Baginda menentukan tokoh yang difikirkan mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan yang berkaitan, dan kegagalan menggunakan budi bicara tersebut secara bijaksana, akan ditafsirkan oleh rakyat sebagai satu kegagalan Raja Pemerintah melaksanakan tanggungjawab paling asas secara adil lagi saksama.
Baginda bertitah, keputusan pilihan raya umum Mac lalu telah meletakkan tanggungjawab besar kepada Istana Perak, di mana berasaskan keputusan, pihak yang mendakwa mendapat sokongan majoriti kelihatan kabur.
Pada pilihan raya itu, Barisan Nasional menenangi 28 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan di Perak, manakala DAP menguasai 18 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR), tujuh kerusi dan PAS enam kerusi.
Rangkaian DAP, PKR dan PAS menguasai 31 kerusi, namun, menurut Raja Nazrin, mereka perlu secara sahih mencapai kata sepakat untuk memilih calon yang dapat menyakinkan Raja Pemerintah bahawa beliau mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan.
“Mereka melalui proses yang panjang sebelum Menteri Besar dapat mengangkat sumpah jawatan dan diperkenan dengan tauliah lantikan,” titah baginda.
Baginda juga menyebut contoh di Selangor, di mana BN menguasai 20 kerusi, PKR 15, DAP 13 dan PAS lapan.
“Meskipun rangkaian DAP-PKR-PAS memperlihatkan majoriti yang nyata, namun Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor masih perlu memastikan bahawa calon yang baginda berikan perkenan diterima oleh ketiga-tiga parti yang berhasrat menubuhkan kerajaan campuran,” titah Raja Nazrin.
Titah baginda, krisis Menteri Besar turut berlaku dalam senario BN memperoleh kemenangan ketara seperti di Perlis di mana BN menguasai 14 daripada 15 kerusi yang dipertandingkan.
Raja Nazrin bertitah walaupun Datuk Seri Shahidan Kassim merupakan calon yang direstui oleh pimpinan pusat untuk mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Besar negeri itu, namun timbul senario “parti dalam parti” apabila calon pilihan pengerusi BN (Perdana Menteri) di peringkat pusat tidak mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Undangan Negeri BN di peringkat negeri.
“Datuk Seri Shahidan Kassim dilaporkan tidak dapat memenuhi titah Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis untuk membawa menghadap majoriti ahli-ahli Dewan Undangan Negeri yang memberi sokongan terhadap beliau. Baginda lalu melantik calon yang Baginda yakin mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan,” titah Raja Nazrin.
Senario di Terengganu pula “menguji hubungan institusi Raja dengan institusi rakyat,” titah baginda. Titah baginda, calon yang dinamakan oleh pengerusi BN untuk mengisi jawatan Menteri Besar tidak mendapat perkenan Istana.
Menurut baginda, terdapat perselisihan sesama ahli-ahli Dewan Undangan Negeri BN dan juga dalam kalangan pimpinan Umno peringkat negeri.- BERNAMA.
teman berkenan betul bila Raja Nazrin neh bertitah..bangga teman sebagai anak watan perak.. apa yg dititahkan memang tepat dan padat. sebagai rakyat marhaen yg hanya makan gaji, teman memang rasa sgt2 yg mesia neh surface je nampak aman tp dlm nya tsunami tengah berpusar-pusar bak twister... tolonglah kerajaan dan pembangkang.. sudah-sudahla berpolitiknya.. sekarang neh musim menunaikan janji.. bukannya dok berkempen sana-sini lagi. pilihanraya dah lepas..buatla kerja sendiri.. jangan overshadow kerja org lain lak.. -TAK BERNAMA. ;)
No comments:
Post a Comment